Friday, July 22, 2011
DIRGAHAYU 65 - MAJLIS JUNJUNG ZIARAH DAN RAMAH MESRA BERSAMA PENDUDUK DAERAH TUTONG - PART II
Posted by Enaz Hanari Organization at 12:03 PM 0 comments
Labels: 70-200mm, Hari Keputeraan, Peoples, Perayaan, School, Tunas Bangsa
DIRGAHAYU 65 - MAJLIS JUNJUNG ZIARAH DAN RAMAH MESRA BERSAMA PENDUDUK DAERAH TUTONG - PART I









Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong
Penganjur: : Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Acara: : Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong
Tarikh: : Khamis, 21 Julai 2011
Masa: : 8.00 pagi
Tempat: : Padang Kompleks Dewan Kemasyrakatan Daerah Tutong
TUTONG, 21 Julai - Lebih 5,000 orang membanjiri kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong hari ini bagi memeriahkan dan menyaksikan lebih dekat lagi acara bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di daerah ini sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-65.
Cuaca yang panas terik tidak menghalang mereka untuk sama-sama berkumpul tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan usia bagi menjunjung kasih ke hadapan majlis Baginda Sultan serta kerabat diraja lain dengan membawa semangat perpaduan dan taat setia kepada raja serta negara yang dicintai.
Acara gilang-gemilang bagi daerah itu yang penuh dengan warna-warni melibatkan segenap lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah dan warga emas yang tidak ketinggalan mahu menatap wajah Baginda Sultan dengan lebih dekat lagi.
Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di daerah itu adalah yang ketiga setelah Daerah Belait dan Daerah Temburong sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan bagi majlis junjung ziarah bersama rakyat.
Berangkat sama ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malek dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Badaruddin Haji Othman, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Laila-raja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi Haji Mohd Yussof dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Muhammad Suffian Haji Bungsu.
Baginda Sultan berserta kerabat lain dijunjung ke Pentas Diraja dan lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan dimainkan yang diikuti dengan laungan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik'.
Awang Haji Muhammad dalam sembah alu-aluannya berkata bahawa rakyat serta penduduk Daerah Tutong terus menikmati kehidupan dalam suasana yang aman, selesa, selamat dan bersatu padu.
Beliau berkata seluruh rakyat dan penduduk Daerah Tutong menjunjung kasih di atas limpah perkenan Baginda Sultan dalam titah yang menggariskan beberapa pembaharuan dan kemajuan dasar kerajaan.Ia termasuk menumpukan kepada kemajuan pendidikan dan perkembangan sumber tenaga manusia khususnya golongan muda dan belia, penggunaan sumber negara secara berhemat yang dapat membantu golongan berpendapatan rendah, mengukuhkan sektor swasta selaku jentera ekonomi negara serta menyelaraskan keistimewaan kepada warga perkhidmatan awam khususnya perubahan elaun tambang yang melibatkan kepada semua pegawai dan kakitangan wanita dalam perkhidmatan awam. "Gagasan Kebawah Duli Tuan Patik ini jelas membuktikan kemurahan hati dan keprihatinan Kebawah Duli Tuan Patik dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini sentiasa terjamin dan terbela."
Bagi memeriahkan dan menyemarakkan sambutan sempena keberangkatan Baginda Sultan, sebuah persembahan khas yang membawakan tema, Raja Berwibawa, Rakyat Sejahtera yang dipersembahkan oleh gabungan peserta dari majlis-majlis perundingan mukim dan kampung, pegawai dan kakitangan kerajaan, belia-belia, penuntut-penuntut sekolah dan wakil-wakil puak dan masyarakat Daerah Tutong seramai 650 orang.
Penyertaan mereka itu menggambarkan rasa kesyukuran, respons dan reaksi rakyat dalam sama-sama mendukung kepimpinan dan kedaulatan raja yang amat disanjung tinggi.
Persembahan khas itu dibahagikan kepada dua segmen dengan segmen pertama mempersembahkan sebuah lagu berirama diang bertajuk, Kasih Raja dan segmen kedua mempersembahkan medley Puisi dan Lagu bertajuk, Salam Kasih Sayang Dari Anak Bangsaku dan Sedia Berbakti.
Majlis kemudian menyaksikan Baginda Sultan berserta Kerabat-Kerabat Diraja dijunjung bagi menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk Daerah Tutong di mana jelas kelihatan kemeriahan dan keceriaan di wajah setiap rakyat dan penduduk di daerah itu dengan tidak melepaskan peluang untuk menatap wajah Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain serta menjunjung kasih ke hadapan majlis Baginda berserta Kerabat-Kerabat Diraja. (Sumber dipetik ari Media Permata)
DAULAT KEBAWAH DULI TUAN PATIK
Posted by Enaz Hanari Organization at 11:54 AM 0 comments
Labels: 11-16mm, 70-200mm, Hari Keputeraan, Peoples, Perayaan, School, Tunas Bangsa
Saturday, June 25, 2011
Stars and My Shadow
Posted by Enaz Hanari Organization at 9:59 PM 0 comments
Labels: C.PS - A460, Lain-Lain
Saturday, June 18, 2011
BANGUNAN YAYASAN
Posted by Enaz Hanari Organization at 2:33 PM 0 comments
Labels: 11-16mm, High Dynamic Range, Lain-Lain
Friday, June 17, 2011
CUTI-CUTI KUCHING - SARAWAK 2010
Entri yang berlaku kali ini sebenarnya sudah lama berlalu kerana ia ada menceritakan sedikit beberapa pengalaman bercuti saya bersama kawan pada beberapa bulan yang lepas. Dengan alasan kesibukan bertugas, ianya tidak memungkinkan saya untuk terus membuat catatan percutian tersebut dalam blog ini dengan segera. Entri saya kali ini menceritakan musim percutian saya pada bulan Disember pada tahun yang lepas iaitu pada tahun 2010. Bulan Disember sememangnya bulan yang cukup sesuai untuk pergi melancong ke luar negeri bersama-sama keluarga ataupun rakan-rakan memandangkan ianya adalah musim-musim cuti yang paling panjang. Antara destinasi-destinasi pelancongan yang sering saya dengar di bibir-bibir rakan setugas ialah pelancongan ke Kuala Lumpur, Singapura, Thailand, Hong Kong dan tidak ketinggalan juga Kota Kinabalu yang sering menjadi tumpuan orang-orang kitani sepanjang musim percutian. Namun setakat ini saya lebih senang dan selesa untuk pergi melancong di kawasan-kawasan Kepulauan Borneo ini sahaja.
Pada cuti bulan Disember 2010 ini sahaja saya mendapat pilihan untuk 2 lagi destinasi pelancongan bersama-sama rakan iaitu Bintulu selama 3 hari 2 malam dan Kuching selama 5 hari 4 malam. Oleh sebab saya sendiri sudah pernah pergi ke Bintulu sebanyak 2 kali dan kali terakhir pada tahun 2008, maka saya memilih untuk pergi lebih jauh lagi iaitu ke Kuching, Sarawak bersama 5 lagi rakan-rakan memandangkan ianya merupakan tempat yang baru bagi saya dan belum pula pernah saya jejaki sebelum ini. Maka pada tanggal 18hb Disember 2010, bermulalah lagi satu episod pelancongan ke tiga buat saya di tahun 2010 ini menuju ke Kuching, Sarawak.
Kami mula bertolak sekitar jam 6 pagi dari Pos Kawalan Sungai Tujoh meninggalkan Brunei Darussalam dan seterusnya mengharungi perjalanan sejauh lebih kurang 980 kilometer melalui laluan lama dari Miri - Niah – Bintulu - Sibu – Sarikei – Sri Aman - Serian. Saya juga dimaklumkan bahawa hanya terdapat satu jalan utama sahaja untuk menuju ke Kuching iaitu melalui jalan Sibu dan tidak ada jalan alternatif selain melaluinya dari sana. Oleh sebab perjalanan yang jauh kami hanya berhenti berehat selama 10 minit untuk merenggangkan otot-otot setelah duduk lama dalam kenderaan semasa mengisi minyak dan terus sahaja melanjutkan perjalanan kami selepas itu dengan kelajuan tidak kurang 120Km/h, dan kami selamat sampai di bandar Kuching pada jam 5 petang setelah melalui detik perjalanan selama 11 jam. Biskita dinasihatkan untuk membawa makanan-makanan dan minuman-minuman ringan dalam tempoh perjalanan 11 jam tersebut.
Bagi yang belum mengenali Kuching, Bahagian Kuching merupakan salah satu bahagian di negeri Sarawak. Pusatnya ialah bandar Kuching, ibu negeri Sarawak. Penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Cina, Melayu, Bidayuh, Iban, Melanau, Orang Ulu dan lain-lain. Terdapat banyak tempat pelancongan yang menarik, dan ramai pelancong dari seluruh dunia yang melawat Kuching pada setiap tahun. Secara amnya, Kuching merupakan bandar keempat terbesar di Malaysia (Sumber-Wiki)
Bagi penggemar fotografi pula, saya perhatikan Bandar Kuching cukup sesuai untuk buat Street Fotografi kerana gabungan kedai lama dan juga baru banyak terdapat disini yang sukar saya dapati di Miri ataupun Sabah setakat ini. Kebanyakkan rumah-rumah di perkampungan sini juga masih ada yang mengekalkan ciri-ciri rumah tradisional klasik yang menunjukkan hasil kesenian binaan orang-orang melayu yang sememangnya unik dan cantik.
Semasa keberadaan kami di Kuching ini, banyak lah tempat-tempat menarik yang sempat kami lawati, antaranya ialah Kuching Waterfront, Masjid India – India Street Mall, Pasar Tamu -hujung minggu- Serikin, Muzium dan Kampong Budaya Sarawak selain gedung beli-belah yang ada disini. Kami juga tidak mempunyai sebarang masalah perjalanan di sini kerana rakan yang bertanggung jawab membawa kami ke sini sememangnya arif lagi bijaksana dengan jalan-jalan di Kuching ini.
Pasar hujung minggu Serikin merupakan salah satu destinasi yang sempat kami singgahi semasa berada di Kuching. Serikin merupakan daerah yang hampir-hampir bersempadan dengan Negara Indonesia dan kebanyakkan barang-barang dan produk-produk disana juga ada yang didatangkan dari Negara Indonesia. Pasar tamu ini hanya di buka pada penghujung minggu sahaja iaitu pada hari Sabtu dan Ahad dengan pelbagai variasi dan barang-barang jualan seperti pakaian-pakaian, makanan-makanan ringan, beg tangan, perabot-perabot rumah dan banyak lagi barang-barang yang lain. Cuaca yang panas terik tidak menghalang kami untuk terus meninjau dan mencari barang-barangan untuk dibeli untuk di bawa pulang ke Brunei Darussalam nanti. Kami sememangnya bernasib baik kerana telah dinasihatkan untuk pergi lebih awal kesana dan berjaya mengelakkan kesesakkan lalulintas sepanjang 2 – 3 kilometer menuju kesana kerana tempat tersebut akan menjadi sangat sesak dengan orang ramai yang datang berpusu-pusu membeli barang-barang yang ditawarkan dengan harga yang murah dan menarik. Tidak rugi kami mengunjungi Tamu Serikin ini kerana banyak ole-ole dan barang-barang yang sukar didapati ada dijual di Tamu Serikin ini dengan harga yang murah.
Tidak lengkap rasanya kalau tidak pergi ke Kampong Budaya Sarawak (Sarawak Cultural Village) semasa berada disini bahkan ianya menjadi tempat kunjungan yang diwajibkan bagi pengunjung luar negara yang baru sahaja sampai ke Kuching ini. Kampong Budaya Sarawak ini juga di panggil sebagai “Muzium Hidup” kerana didalamnya mempersembahkan kehidupan-kehidupan dan tradisi-tradisi etnik-etnik dan suku-suku kaum yang menghuni Negeri Sarawak. Terletak di Pantai Damai, Santubong lebih kurang 30Km dari Bandar Kuching dan bayaran masuk pula sebanyak RM60 (dewasa). Ada 7 suku kaum yang ber”mukim” di Perkampongan Budaya Sarawak ini yang terdiri daripada puak Bidayuh, Iban, Penan, Orang Ulu, Melanau, Melayu dan juga Cina. Dengan mengenakan pakaian tradisional mereka, mereka akan menerangkan tentang suku-kaum mereka, adat-adat atau pantang larang yang ada dan menunjukkan Tarian Selamat Datang kepada yang datang berkunjung. Acara kemuncak ialah persembahan kebudayaan selama 45 minit yang menampilkan gabungan 7 etnik tadi di ruang mini teater Kampong Budaya Sarawak yang semestinya menjanjikan keseronokkan bagi yang datang sendiri untuk menyaksikannya.
Sememangnya banyak pengalaman dan kenangan-kenangan indah dan manis telah terpahat semasa berada di Kuching ini. Keramahan dan kemesraan kebanyakkan orang Kuching melayan kami pula membuatkan kami berasa selamat dan seronok sepanjang kami berada disini. Filem menarik komedi seram “Hantu Mak Limah Balik Rumah” pula berjaya menjadi saksi untuk kami bilamana “kantoi” tertidur di ruang panggung kerana terlalu keletihan setelah bermain ten-pin bowling sebelumnya.
Setelah berada hampir 5 hari 4 malam di sini, kami mula meninggalkan Kuching pada waktu subuh jam 4.40 pagi dan sekali lagi melalui pengalaman pulang yang cukup memeritkan memandangkan muatan semakin bertambah dan padat berbanding dengan muatan semasa ketibaan kami disini. Terasa pilu pula untuk meninggalkan keluarga yang banyak bersusah payah menjaga makan minum dan tidur kami sepanjang berada disana. Apa yang menjadi kepastian kami ialah kunjungan kami ke Kuching ini pasti lah bukan kunjungan kami yang terakhir. Insya Allah panjang umur dan dimurahkan rezeki pasti kami akan datang berkunjung membuat kacau semula ke bumi kenyalang ini.
Posted by Enaz Hanari Organization at 3:20 PM 0 comments
Labels: 11-16mm, 18-200mm, Art and Heritage, Borak-Borak-Blogger, Culture, CUTI-CUTI, Group Hugs, Lain-Lain, Makan Angin, My Diary, Outing, Peoples













