01hb SEPTEMBER 2010 @ RABU - Tidak ada bulan semulia Ramadhan kerana dibulan yang mulia ini lah segala amalan dan ibadah yang dikerjakan dengan niat ikhlas kerana Allah Subhaanahu wa Ta’ala akan mendapat ganjaran pahala yang belipat kali ganda. Bersempena dengan Hari Belia Kebangsaan yang ditetapkan pada 01hb OGOS, pelbagai program dan aktiviti yang melibatkan para-para belia sedang giat dijalankan sebagai pengiktirafan dan juga untuk menghargai belia dan pergerakan belia di Negara Brunei Darussalam ini.
Para-para belia yang terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah menengah di perkarangan Masjid Jame' Asr Hassanal Bolkiah
Beliawanis-beliawanis yang juga pelajar-pelajar dari SMTM sedang menunggu arahan seterusnya dari guru-guru pengawas mereka
Sambutan bermakna itu mempunyai empat tujuan utama iaitu - memartabatkan pergerakan belia dengan memperingati dan menyambut Hari Belia Kebangsaan; mengumpulkan belia-belia di seluruh negara dalam satu perhimpunan dengan aktiviti-aktiviti yang bermakna, memberi peluang kepada belia-belia berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dan pendapat daripada pelbagai aspek dan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan menjana integrasi di kalangan generasi belia. Sesuai dengan umur dan fizikal mereka, para belia dipertaruhkan segala macam impian, kerana mereka mempunyai potensi serba istimewa. Lebih jauh dari itu, mereka adalah golongan pemikir kerana tahap pendidikan yang begitu tinggi sehingga mampu memikirkan perkara-perkara besar, yang dihajati oleh negara bangsa. Dalam wadah pembangunan negara pula, golongan sedemikian menjadi komponen terpenting dalam apa saja usaha bagi kesejahteraan. Golongan ini juga merupakan 'stakeholder' yang dinamik untuk 'survival' bangsa dan negara di masa mendatang.
Kecerian jelas kelihatan diwajah penuntut-penuntut ini semasa mengikuti program bertedarus di bulan yang serba mulia ini
Student-student ku masih sempat berposing tanpa diminta
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sendiri menekanan tentang pentingnya peranan belia ketika bertitah Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-2 yang diadakan pada 1 Ogos 2006. Antaranya baginda bertitah: "Di mana-mana sahaja kaum belia adalah menjadi kebanggaan negara. Mereka adalah golongan yang dianggap mampu mencorakkan masa depan serta juga selaku penerus kesinambungan cita-cita bangsa." (Pelita Brunei, 310710).
Antara banyak-banyak program serta aktiviti-aktiviti yang melibatkan belia-belia ini adalah Aktiviti Keugamaan, Program Keugamaan yang disediakan untuk belia adalah ke arah penyerapan dan penghayatan nilai-nilai kehidupan berugama sebagai satu cara hidup yang sempurna selaras dengan falsafah negara Melayu Islam Beraja. Antara kegiatan-kegiatan yang dibuat ialah: Musabaqah Tilawatil Qur’an Belia Peringkat Daerah, Kebangsaan dan Asia Tenggara; Majlis Bertadarus Belia di masjid-masjid pada bulan Ramadan; Perkampungan Hijrah Belia; Perkampungan Ramadan Belia; Kelas-kelas Pembacaan Al-Qur’an; Solat Berjemaah, kuliah dan ceramah keugamaan dalam projek belia; dan Pertandingan Lagu-Lagu Dakwah Belia. Program Keugamaan ini bertujuan untuk menyerapkan nilai-nilai ugama yang dapat membentuk rohani selain daripada pembangunan jasmani. Adalah difahamkan Jabatan Hal Ehwal Masjid, sebuah jabatan di Kementerian Hal Ehwal Ugama yang memeduli belia-belia Islam, juga merancang aktiviti-aktiviti keugamaan bagi belia-belia masjid di Negara ini. Antara kegiatan-kegiatan yang menarik minat belia ialah Forum Kefahaman Al-Qur’an, Majlis Pembacaan Puisi Islam, Pertandingan Dikir Brunei, Perlawanan Bolasepak Piala Zain, Program Tasawwur Islami Belia Masjid dan Kursus Kepimpinan Belia Islam. Sudah tentunya program-program yang diungkayahkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid yang khusus untuk belia telah berjaya menyumbang kepada pembentukan belia yang cemerlang dan perkasa.( Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Jemat bin Haji Ampal : Negara Zikir Mencalak Belia Perkasa).
Ada-ada saja gelagat dorang ani kan minta gambar
Keadaan penuntut-penuntut kami semasa menunggu arahan dari guru-guru pengawas
Atas inisiatif inilah satu program keagamaan yang melibatkan sejumlah besar para-para belia dari seluruh Daerah telah diadakan di Jame’ Asri Hassanal Bolkiah. Program ini melibatkan belia-belia dan beliawanis-beliawanis dari Institusi-Institusi Pengajian Tinggi, Maktab-Maktab, Sekolah-Sekolah Menengah, Persatuan Belia dan Sukan, Persatuan Beruniform dan belia-belia secara amnya. Turut hadir dalam program perhimpunan raksasa belia yang dihadiri lebih kurang 3,000 hingga 5,000 ribu belia ini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Lebih kurang seramai 60 orang para penuntut SMTM dari kalangan belia telah dilibatkan dalam aktiviti ini
Pelajar-pelajar kami dinasihatkan agar tidak berjauhan dengan rakan-rakan mereka yang lain memandangkan perhimpunan ani adalah diantara perhimpunan yang terbesar
Program Bertedarus Al-Quran belia senegara ini adalah aktiviti kelolaan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama dari Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Hal Ehwal Ugama yang dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan. Program ini juga antara lain menyahut seruan titah dari KDYMM yang mahu menjadikan Negara Brunei Darussalam ini sebagai sebuah Negara Zikir selain mahu menjadikan belia-belia di Negara ini belia-belia yang celik Al-Quran dan juga sentiasa berdamping dengan kitab suci Al-Quran sebagai teman dan panduan hidup.
Salah seorang guru pengawas dari SMTM sedang membaca ayat suci Al-Quran
Para-para belia dari seluruh daerah membaca ayat-ayat yang telah diberikan pada mereka
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika bertitah di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Peringkat Kebangsaan pada 13 Oktober 1996 menekankan bahawa hasrat kita yang tunggal ialah ingin melihat generasi Al-Qur'an itu dikongsi sama oleh semua pihak dan golongan terutama golongan belia. Menurut baginda Negara Brunei Darusalam dan kita semua akan merasa bangga dengan lahirnya belia-belia yang berwatak soleh yang sentiasa terlibat dengan Al-Qur'an sama ada keterlibatan itu selaku pembaca biasa mahupun sekali gus menjadi penghayat dan pengamal ajaran-ajarannya. Baginda bertitah dengan menyebut bahawa :
"Menjelang abad ke-21, tidaklah wajar bagi sebuah negara kecil seperti negara kita ini mempunyai belia-belia yang tidak pandai membaca dan menulis, yakni buta huruf. Maka demikian itu pula tidak patut bagi kita mempunyai belia-belia yang masih tidak pandai membaca Al-Qur'an. Bahkan pengetahuan tentang Al-Qur'an itu tidaklah dibatasi oleh waktu, yakni di zaman atau abad apapun, ia adalah wajib dan menjadi fardu ain sama ada kita hidup di zaman kemajuan ataupun sebaliknya. Kerana itu adalah merupakan pakaian kita, pakaian dalam beribadat, pakaian dalam berakidah dan pakaian dalam menjalani seluruh kehidupan kita,"(Pelita Brunei : 04092010) .
Program seumpama ini adalah juga bertujuan untuk menyahut titah KDYMM untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir
Belia adalah aset masa depan negara yang perlu digilap dan dilatih agar mampu untuk berdikari
Salah seorang pentasmie' yang ditugaskan untuk mentasmie' bacaan para-para belia.
Kelihatan seorang pentasmie sedang menyemak bacaan salah seorang penuntut.
Para-para belia hendaklah di latih agar sentiasa untuk mendampingi Al-Quran agar mudah untuk mendapat berkat dan rahmat dari Ilahi
Tetamu kehormat pada pagi tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim
Belia yang sentiasa mendampingi Al-Quran akan mudah untuk menjadi insan yang bertaqwa dengan berkat dari Al-Quran itu jua
Salah seorang pelajar SMTM sedang ditasmie' oleh guru pentasmie'
Antara pengisian ilmiah dalam program tersebut ialah penyampaian ceramah bertajuk "BELIA BERJIWA BESAR" dari penceramah Pusat Dakwah Islamiah iaitu Ustaz Haji Mail bin Besar
Keadaan semasa selesai majlis bertedarus dan Solat Zohor berjama'ah
Antara pengisian dan aktiviti di pagi tersebut selain daripada Program Bertedarus Al-Quran ialah mendengar ceramah bertajuk “BELIA BERJIWA BESAR” dari Penguasa Dakwah dan Tabligh, Ketua Bahagian Kajian dan Penerbitan, Pusat Dakwah Islamiah iaitu Ustaz Haji Mail bin Besar yang mana antara lain dalam isi ceramah beliau mengingatkan para-para belia dan beliawanis negara ini agar bangun untuk mengerjakan Solat Fardhu Subuh dan tidak sesekali tidur dari saat terbitnya fajar sehingga terbit matahari kerana pada ketika itulah Allah menurunkan rezeki-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang tidak tidur. Perbuatan kebanyakkan mereka yang tidur diwaktu tersebut sememangnya tidak syak lagi akan menyingkatkan lagi rezeki bagi dirinya. Majlis berkebajikan ini selesai setelah sekalian yang hadir mengerjakan solat Fardhu Zohor berjama’ah.