Kawasaki Voyager XII - Kenangan semasa Ekspedisi ke Kuching, Sarawak. |
Tiba-tiba aku teringat kenangan Ekspedisi Kelab KEKAL ke Kuching melalui Miri - Bintulu - Sibu pada tahun 2012, memang satu pengalaman yang menyeronokkan dan tidak dapat dilupakan. Selepas itu aku menjadi kurang aktif dalam dunia permotoran akibat tekanan dan bebanan tanggungjawab tugas. Syukur aku mempunyai banyak kegemaran dan hobi mengikut intensiti masa yang berbeza. Jika tidak dapat lakukan aktiviti A aku akan beralih kepada Aktiviti B dan seterusnya. Pengurusan Stress adalah sangat penting buat diri ini agar setiap tugas dan tanggungjawab dilakukan dengan penuh kualiti dan dengan penuh perasaan ikhlas dan gembira. Mungkin suatu hari nanti aku akan mula mencuri-curi masa untuk kembali melepaskan tekanan dengan meredah lebuh raya tidak kira hujan atau panas bersama rakan-rakan yang lain. Mungkin juga sekarang aku menjadi kaku untuk menggerakkan jentera berkuasa tinggi ini memandangkan sudah lama aku tidak menungganginya. Terima Kasih atas kenangan yang telah diberikan pada ku selama ini. kini kau bukan lagi milikku kerana pada hari ini, Hari Juma'at, 21hb Ogos 2015 aku dengan rasminya telah pun melepaskan kau kepada seorang sahabat yang mungkin lebih cermat dan lebih memahami dirimu daripada diriku.