CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Friday, July 22, 2011

DIRGAHAYU 65 - MAJLIS JUNJUNG ZIARAH DAN RAMAH MESRA BERSAMA PENDUDUK DAERAH TUTONG - PART I












Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong
Penganjur: : Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
Acara: : Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong
Tarikh: : Khamis, 21 Julai 2011
Masa: : 8.00 pagi
Tempat: : Padang Kompleks Dewan Kemasyrakatan Daerah Tutong


TUTONG, 21 Julai - Lebih 5,000 orang membanjiri kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong hari ini bagi memeriahkan dan menyaksikan lebih dekat lagi acara bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di daerah ini sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-65.

Cuaca yang panas terik tidak menghalang mereka untuk sama-sama berkumpul tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan usia bagi menjunjung kasih ke hadapan majlis Baginda Sultan serta kerabat diraja lain dengan membawa semangat perpaduan dan taat setia kepada raja serta negara yang dicintai.

Acara gilang-gemilang bagi daerah itu yang penuh dengan warna-warni melibatkan segenap lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah dan warga emas yang tidak ketinggalan mahu menatap wajah Baginda Sultan dengan lebih dekat lagi.
Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di daerah itu adalah yang ketiga setelah Daerah Belait dan Daerah Temburong sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan bagi majlis junjung ziarah bersama rakyat.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malek dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Haji Badaruddin Haji Othman, Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Laila-raja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi Haji Mohd Yussof dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Muhammad Suffian Haji Bungsu.

Baginda Sultan berserta kerabat lain dijunjung ke Pentas Diraja dan lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan dimainkan yang diikuti dengan laungan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik'.

Awang Haji Muhammad dalam sembah alu-aluannya berkata bahawa rakyat serta penduduk Daerah Tutong terus menikmati kehidupan dalam suasana yang aman, selesa, selamat dan bersatu padu.

Beliau berkata seluruh rakyat dan penduduk Daerah Tutong menjunjung kasih di atas limpah perkenan Baginda Sultan dalam titah yang menggariskan beberapa pembaharuan dan kemajuan dasar kerajaan.Ia termasuk menumpukan kepada kemajuan pendidikan dan perkembangan sumber tenaga manusia khususnya golongan muda dan belia, penggunaan sumber negara secara berhemat yang dapat membantu golongan berpendapatan rendah, mengukuhkan sektor swasta selaku jentera ekonomi negara serta menyelaraskan keistimewaan kepada warga perkhidmatan awam khususnya perubahan elaun tambang yang melibatkan kepada semua pegawai dan kakitangan wanita dalam perkhidmatan awam. "Gagasan Kebawah Duli Tuan Patik ini jelas membuktikan kemurahan hati dan keprihatinan Kebawah Duli Tuan Patik dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini sentiasa terjamin dan terbela."

Bagi memeriahkan dan menyemarakkan sambutan sempena keberangkatan Baginda Sultan, sebuah persembahan khas yang membawakan tema, Raja Berwibawa, Rakyat Sejahtera yang dipersembahkan oleh gabungan peserta dari majlis-majlis perundingan mukim dan kampung, pegawai dan kakitangan kerajaan, belia-belia, penuntut-penuntut sekolah dan wakil-wakil puak dan masyarakat Daerah Tutong seramai 650 orang.

Penyertaan mereka itu menggambarkan rasa kesyukuran, respons dan reaksi rakyat dalam sama-sama mendukung kepimpinan dan kedaulatan raja yang amat disanjung tinggi.
Persembahan khas itu dibahagikan kepada dua segmen dengan segmen pertama mempersembahkan sebuah lagu berirama diang bertajuk, Kasih Raja dan segmen kedua mempersembahkan medley Puisi dan Lagu bertajuk, Salam Kasih Sayang Dari Anak Bangsaku dan Sedia Berbakti.

Majlis kemudian menyaksikan Baginda Sultan berserta Kerabat-Kerabat Diraja dijunjung bagi menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk Daerah Tutong di mana jelas kelihatan kemeriahan dan keceriaan di wajah setiap rakyat dan penduduk di daerah itu dengan tidak melepaskan peluang untuk menatap wajah Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain serta menjunjung kasih ke hadapan majlis Baginda berserta Kerabat-Kerabat Diraja. (Sumber dipetik ari Media Permata)



DAULAT KEBAWAH DULI TUAN PATIK

0 comments: